Graduan terlibat terdiri daripada 179 graduan diploma Kemahiran Malaysia, 698 graduan Sijil Kemahiran Malaysia, 314 graduan Sijil Pertanian Malaysia dan 48 graduan Sijil Veterinar Malaysia.

Lima anugerah khas turut diberikan diberikan kepada pelajar cemerlang iaitu Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Anugerah Khas Pengarah Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian, Anugerah Khas Ketua Pengarah Pertanian dan Anugerah Khas Ketua Pengarah Veterinar.

Anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik berdasarkan kecemerlangan keseluruhan iaitu pencapaian akademik yang tinggi, penglibatan kokurikulum yang aktif dan sumbangan yang relevan kepada masyarakat.

Nurul Saadah Ayub, 22 yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif 3.56 menerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, minatnya yang mendalam terhadap bidang pertanian membuatkan dia fokus sepanjang mengikuti pengajian di Institut Pertanian Serdang.

“Saya kini sedang mengusahakan tanaman singkat secara kecil-kecilan di kediaman saya di Perak,” ujar graduan yang turut memperoleh Anugerah Emas dan Anugerah Khas Pengetua Institut Pertanian Serdang.

Manakala, bagi Anugerah Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri diberikan kepada Muhammad Faiz Zuhairi, 23 dari Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga, Kedah.

Katanya, sebagai seorang penyelidik pertanian, ilmu pengetahuan yang dipelajari banyak membantu beliau dalam kerjayanya.

Sementara itu Mohamad Hafizuddin Ramli, 24, pula menerima Anugerah Khas Pengarah Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Hafizuddin berkata, dia kini fokus membuat penanaman salad menggunakan cara hidroponik dan akuaponik.

“Dua jenis tanaman ini mampu memberikan keuntungan yang lumayan jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya. - UTUSAN ONLINE