Seramai 1,234 graduan menerima skrol dalam majlis dua sesi disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong selaku Canselor MSU, Tuanku Hajah Haminah Hamidun.

Mereka terdiri daripada 11 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Ijazah Sarjana (62), Ijazah Sarjana Muda (705) dan Diploma (456).

Manakala Sekolah Pendidikan dan Sains Sosial (SESS) pula menyumbang jumlah graduan terbesar berjumlah 375 orang.

Selain itu, lima program pengajian melahirkan graduan sulung bagi program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Peruncitan, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Perhubungan Awam dan Hiburan), Ijazah Sarjana Muda Muda Pemasaran dan Komunikasi Visual, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Luar, Riadah dan Pengembaraan dan Diploma Reka Bentuk Fesyen.

Sementara itu, kumpulan pertama 217 graduan Program Pensiswazahan Guru (PPG) yang terdiri daripada guru yang sedang berkhidmat di seluruh negara turut dirai dalam majlis yang merupakan program usaha sama antara MSU dan Kementerian Pendidikan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Noordin dan Presiden MSU, Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid.

Sebanyak lima kategori anugerah khas graduan cemerlang turut dianugerahkan kepada 44 graduan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka, antaranya ialah Pingat Emas Canselor, Anugerah Presiden, Anugerah Kecemerlangan Mohd. Shukri Yajid, Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

Penerima Pingat Emas Canselor MSU, Sharifah Shahnaz Hassan, 23, berkata, anugerah tersebut hasil usaha bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi penglibatan aktif dalam kokurikulum dan kemasyarakatan.

“Alhamdulillah, atas kejayaan dan anugerah ini. Usaha gigih dan pengorbanan merupakan kunci kejayaan kepada seseorang insan dan semua layak untuk mendapatkannya,” ujarnya yang bakal menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana di MSU dalam masa terdekat.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Forensik Komputer, Fakulti Sains Maklumat dan Kejuruteraan itu menambah, kejayaan tersebut juga hasil doa kedua-dua ibu bapanya yang telah banyak berkorban demi masa depan anak-anak mereka.

Sementara itu, Nuraishah Nazura Asman, 20, dari Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional dan Ooi Chew Yong, 24, dari Sekolah Pendidikan dan Sains Sosial merupakan 20 graduan lain menerima Anugerah Akademik dan 21 graduan menerima Anugerah Industri sebagai pengiktirafan khas rakan industri MSU terhadap pencapaian graduan mengikuti bidang masing-masing.

Dalam pada itu, seorang pelajar berasal dari Indonesia yang juga merupakan seorang usahawan muda dan mempunyai perniagaan sendiri, Lelin Febrianni Setiawati, 22, menerima Anugerah Cemerlang Mohd. Shukri Yajid hasil kecemerlangannya dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa dari Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pengajian Profesional. – DHIYA’ZULHILMI DAUD