P. KAMALANATHAN

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan beranggapan kanak-kanak istimewa itu tidak boleh diasingkan di Sekolah Pendidikan Khas, sebaliknya memerlukan layanan serta pendidikan sempurna demi menjamin masa depan yang sama seperti kanak-kanak normal lain.

Katanya, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat dan sekiranya dipersetujui, ia akan dilaksanakan serta-merta.

“Ia adalah bagi memastikan anak istimewa ini tidak terpinggir dan turut mendapat pem­belajaran berterusan dan lancar seperti pelajar-pelajar lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Mengenai Autisme dan Keterangkuman di sini hari ini.

Sehubungan itu, Kamalanathan berkata, bidang pendidikan khas itu akan diperluaskan kepada guru-guru yang mempunyai minat dan kecenderungan untuk mendalami bidang berkenaan.

Katanya, guru-guru yang berminat akan ditawarkan untuk mengikuti program tambahan dalam Pendidikan Khas di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan sebaik tamat pengajian, mereka akan ditempatkan semula di sekolah yang sama.

“Kita memerlukan beberapa guru yang mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan khas di setiap sekolah kerana seorang guru tidak memadai untuk ‘menjaga’ semua pelajar istimewa,” tambahnya.

Ditanya mengenai elaun tambahan kepada guru Pendidikan Khas, beliau berkata, kementeriannya masih belum meneliti perkara itu kerana perkara asas yang penting adalah kesanggupan serta minat kerana guru-guru pendidikan khas ini mempunyai keunikan serta tahap pemahaman yang tinggi.