Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mat Lazim Idris berkata, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah boleh memaklumkan kepada guru-guru di daerah masing-masing untuk memanfaatkan Utusan Pelajar sebagai akhbar pendidikan, sama ada di bilik darjah atau di pusat sumber sekolah.

“Penerbitan Utusan Pelajar berserta dua komponen utama di dalamnya iaitu Sistem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif (CIDS) dan Modul 10 Minit Perhimpunan (M10MP) wajar dipuji kerana turut sama menyemarakkan amalan PAK-21 di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penataran Utusan Pelajar dengan pembangun bersama M10MP, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama dilantik sebagai mentor kepada daerah-daerah lain di Perak untuk mendapatkan bim­bingan dalam mengguna pakai Utusan Pelajar, CIDS dan M10MP.

Mengulas mengenai M10MP, Mat Lazim berkata, modul itu menyerlahkan kemenjadian mu­­rid dalam melaksanakannya dengan berani dan berkeyakinan tinggi terutama dari aspek berkomunikasi di khalayak ramai.