Berteraskan slogan ‘Menerajui Perubahan’, program jelajah dua hari di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah yang berakhir semalam itu menyediakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Perasmian program tersebut disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Dr. Zainal Aalam Hassan.

Penganjurannya memberi fokus kepada memaparkan kejayaan kementerian, murid dan pelajar yang bersedia berdepan cabaran global untuk mencapai enam aspirasi digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015.

Pahang merupakan ne­geri ke-11 penganjuran program tersebut yang telah merekodkan keha­diran luar biasa iaitu lebih 100,000 pengunjung di 10 buah negeri iaitu Kedah, Terengganu, Melaka, Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Perak.

Penganjuran di negeri ini me­­nyaksikan 48 pempamer mengambil bahagian iaitu melibatkan 12 kementerian, 19 buah sekolah, tujuh pejabat pendidikan, 10 agensi kerajaan dan satu dari Jabatan Pendidikan negeri.

Antara aktiviti diadakan ialah gotong-royong di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Ahmad, di sini yang disertai kira-kira 200 orang terdiri daripada pelajar dan guru sekolah tersebut, ibu bapa, kakitangan Jabatan Pendidikan negeri serta Kementerian Pendidikan.

Program tersebut turut diserikan dengan persembahan pentas oleh murid-murid sekolah seperti nasyid, bercerita dan pentomin selain pertandi­ngan mewarna bagi kanak-kanak prasekolah.

Para pengunjung juga berpeluang menyertai acara dan aktiviti di setiap gerai seperti membina bonzai kristal, melukis batik dan mencantum objek sekali gus memberi pendedahan baharu kepada peserta.