Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera, Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, di Terengganu, Jelajah Pendidikan Bumiputera akan berada di dua lokasi iaitu di Kuala Nerus dan Dungun.

"Bemula Sabtu ini, kita akan berada di Tapak Perumahan Rakyat Bukit Nanas, Tepoh Kuala Nerus yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Manakala lokasi seterusnya di Tapak Perumahan Rakyat SPNB Paka, Dungun pada Ahad ini. Lepasan sekolah yang ingin menyambung pengajian di 35 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dijemput hadir beramai-ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera bagi Parlimen Bachok di Pejabat Pendidikan Daerah Bachok di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sahol Hamid berkata, mereka yang layak, surat tawaran akan dikeluarkan serta-merta pada hari yang sama untuk kursus yang berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

"Oleh itu, pemohon perlu membawa salinan kad pengenalan pemohon  dan ibu bapa, keputusan peperiksaan , salinan surat beranak , salinan penyata gaji, salinan kematian/ cerai dan salinan sijil pada hari tersebut," katanya.- UTUSAN ONLINE