Pertandingan bulanan yang dibuka kepada pelajar sekolah menengah seluruh negara de­ngan kerjasama Kementerian Pendidikan itu bertujuan me­ningkatkan kefahaman pelajar tentang erti perpaduan antara kaum dan kepentingan untuk mengekalkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat.

Eksekutif Pengurusan Jenama, Hazwan Hairul berkata, para peserta teruja dan bersema­ngat untuk menghasilkan video pendek #muhibah setelah diberi penerangan tentang teknik rakaman, teknik suntingan serta kaedah penyediaan papan cerita bagi menghasilkan video pendek yang menarik.

“Walaupun di bulan Ramadan, penataran yang dibuat secara santai dan bersahaja membolehkan peserta menikmati sesi rakaman dan suntingan pada waktu rehat.

“Mereka diingatkan untuk merakam babak dan menyun­ting semuanya menjadi projek dengan durasi dua minit.

“Tempoh penataran juga disingkatkan kepada tiga jam setengah sehinggalah selesai penghasilan video pendek yang dimuat naik ke laman YouTube dan dihantar terus menerusi laman sesawang www.muhibah.my,” katanya ketika ditemui.

Yang turut hadir Pengetua SMK Puteri Titiwangsa, Rohana Yusof dan guru penyelaras program, Hamzaisham Hamzah serta Penolong Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Mohamad Fikri Rosly.

Pertandingan Video Pendek #muhibah yang hanya terbuka kepada pelajar sekolah mene­ngah di seluruh nengara berlangsung selama setahun dari 1 Januari lalu hingga 31 Disember tahun ini.

Pelajar hanya perlu menghasilkan video berdurasi tidak lebih dua minit bertemakan muhibah dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Empat video terbaik akan dipilih sebagai pemenang bulanan yang akan memperoleh wang tunai RM1,000 setiap satu manakala 10 lagi video akan menerima hadiah saguhati berupa langanan e-papar Utusan Malaysia dan tiket taman tema dan Sky Tower Melaka.