Pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Izzuddin Shah itu berkata, meskipun mengulang kaji pelajaran bersungguh-sungguh namun jika tidak menjaga hubungan dengan Allah seperti bersolat, usaha tersebut tidak akan berhasil.

"Perkara pertama yang saya selalu ambil berat ialah jaga solat dan jaga hubungan dengan manusia terutama guru dan ibu bapa. Cara ini membantu untuk kita terang hati menerima pelajaran.

"Jika semua itu kita abaikan dan tidak hormat kepada orang sekeliling, usaha yang dilakukan tidak akan ke mana-mana kerana 'berkat' itu kita tidak jaga dengan baik," katanya di sini hari ini.

Dalam PT3, Kamal Faiz memperoleh A bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Melayu (lisan), Bahasa Inggeris (lisan), Sejarah, Geografi, Bahasa Arab, Pendidikan Islam, Matematik, Sains, dan Kemahiran Hidup Bersepadu.

Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, bagi memastikan dia lebih memahami setiap mata pelajaran, dia dan rakan-rakannya akan belajar secara berkumpulan.

Katanya, langkah tersebut membolehkan mereka dapat sama-sama membantu mana-mana rakan yang lemah dalam mata pelajaran tertentu.

"Selain memberi tumpuan di dalam kelas, saya memilih mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan kerana ia lebih baik berbanding  belajar seorang diri. 

"Selain itu, jika saya tidak memahami sesuatu perkara pun, saya akan cepat merujuk kepada guru bagi memastikan saya faham dengan baik mata pelajaran itu," katanya.

Tambahnya, dia yang bercita-cita untuk menjadi doktor mengakui kejayaan yang dicapainya hari ini adalah dengan sokongan ibu bapa dan guru-guru yang banyak memberikan bimbingan dan tunjuk ajar.-UTUSAN ONLINE