Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, langkah memperkasa dan memperluas peranan institusi itu dibuat selepas mengambil kira kebitaraannya dalam aspek latihan guru serta potensinya yang mampu meningkatkan ekonomi negeri ini.

‘‘Saya secara khusus gembira dengan perkembangan terbaharu IPG Kota Bharu yang kini bukan sahaja kembali menjadi pusat latihan guru dalam negara, bahkan sudah mula melatih guru-guru dari selatan Thailand.

‘‘Hasrat kita ialah supaya IPG Kota Bharu dapat terus berkembang di peringkat antarabangsa sebagai pusat latihan guru negara-negara rantau Indochina seperti Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam,’’ katanya selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Datuk Husam Musa.

Maszlee memberitahu, setakat ini, IPG Kota Bharu sudah melatih 30 guru dari selatan Thailand melalui kursus pedagogi secara berkala dengan kerjasama Jabatan Bahasa institut tersebut.