Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, program PETAH yang memberikan bim­bingan dalam seni pengucapan awam alaf baharu ini selari de­ngan aspirasi murid Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“PETAH diharap menjadi platform membentuk kemenjadian murid dalam berkomunikasi terutama dari aspek kelancaran berbahasa aras tinggi, atribut diri, ketrampilan dan personaliti.

“Di samping itu, program berkenaan juga bertujuan memupuk sifat kepemimpinan, keberanian dan keyakinan diri terutama berucap di khalayak ramai,” jelasnya dalam satu ke­nyataan menerusi e-mel baru-baru ini.

Program PETAH amat rele­van dengan peranan institut ini sebagai hab pengucapan awam IPG yang akan membimbing peserta dengan kemahiran berkomunikasi hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Pada ak­hir program dalam bahasa Me­la­yu de­ngan kerjasama Dewan Ba­ha­sa dan Pus­taka (DBP) ini akan diadakan tiga ka­te­gori pertanding­an iaitu Bicara Tuntas (seni pembentangan), Bual Cerita (seni bercerita) dan Bicara Interaktif (seni pengacaraan).

Semua kategori tersebut berbeza format daripada mana-mana pertandingan yang ada di negara ini kerana diubah suai agar lebih dinamik dan ke arah revolusi industri 4.0.

Modul PETAH dibangunkan oleh sekumpulan pensyarah yang kreatif dan sentiasa peka dengan transformasi dunia seni penyampaian terkini.

Selama sehari, peserta akan mengikuti modul itu di Studio PETAH sebelum mereka meng­aplikasikan seni pengucapan awam dan penyampaian dalam pertandingan merebut gelaran Bintang PETAH 2018 pada hari berikutnya.

Sebarang pertanyaan me­ngenai program yang hanya terbuka kepada murid sekolah rendah ini boleh diajukan kepada Dr Isnariah Idris di talian 013-3388788.