Anugerah tersebut diterima INTEC melalui Pusat Akauntan Profesionalnya (iPAC), sekaligus memperlihatkan bahawa kualiti proses pembelajaran dan penganjaran di kolej tersebut diperakui oleh pihak antarabangsa.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Zaini Abdullah berkata, pencapaian itu merupakan satu pengiktirafan membanggakan dan menjadikan INTEC sebagai pusat pengajian perakaunan yang diperakui mampu melahirkan akauntan bertaraf antarabangsa.

“Pengiktirafan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan tenaga profesional termasuk melahirkan seramai 60,000 akauntan terlatih yang diiktiraf menjelang 2020.

“Pencapaian ini bukan sesuatu yang mudah memandangkan anugerah tersebut dicapai dalam masa dua tahun sejak iPAC INTEC diwujudkan,” katanya selepas menyaksikan Majlis Penyampaian Anugerah Platinum ACCA di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif ACCA Global, Helen Brand, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC), Datuk Zaiton Mohd. Hassan dan Ketua Eksekutif INTEC, Prof. Dr. Yamin Yasin.

Sementara itu, Brand dalam ucapannya berkata, anugerah tersebut hanya diberi kepada pihak yang benar-benar layak dan berjaya mencapai piawaian tertinggi yang ditetapkan pihaknya.

“Hubungan baik antara pihak kami dengan INTEC selama beberapa tahun ini menyumbang kepada kejayaan ACCA untuk memperkukuhkan kerjaya akauntan di negara ini dan INTEC sememangnya layak menerima anugerah ini.

“Pihak kami dan INTEC melakukan pelbagai inovasi dalam kriteria kelayakan ACCA antaranya melibatkan penyelidikan terhadap keperluan majikan di peringkat nasional, rantau dan antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE