Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Naluri Hidup Sdn. Bhd., Azran Osman Rani berkata, pengambilan personel yang penuh semangat dan bertenaga serta memenuhi kriteria organisasi merupakan antara faktor yang membantu kejayaan sesebuah perniagaan.

Menurut beliau, proses temuduga hanya memberikan ketepatan sebanyak 50 peratus kerana semua calon berusaha menonjolkan sisi positif kepada majikan.

“Sikap sebenar atau potensi seseorang dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas diambil bekerja. Strategi perniagaan yang sentiasa berubah memerlukan setiap ahli organisasi membuat penyesuaian supaya sumbangan mereka sentiasa relevan dan seiring dengan visi organisasi.

“Sebagai majikan saya akan meneliti dua perkara iaitu individu yang tidak menyalahkan pihak lain dan kaedah menyelesaikan masalah apabila berhadapan dengan masalah yang berulang. Melalui cara ini kita dapat melihat potensi sebenar selain usaha calon untuk belajar daripada kesilapan,” katanya dalam program sembang santai PRUEntrepreneur di sini semalam.

Sementara itu, Azran menekankan kepentingan untuk menerapkan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam kalangan usahawan muda bagi menangani cabaran dunia keusahawanan supaya dapat mewujudkan perniagaan yang mampan dan berdaya saing.

Azran yang merupakan bekas CEO AirAsia X dan iflix berkata, pelbagai cabaran dihadapi ketika menerajui iflix terutama untuk meyakinkan para pelabur, pelanggan, syarikat telekomunikasi serta mencari mekanisme pembayaran yang sesuai untuk rakyat Malaysia.

“Saya tidak terlalu mengikut rancangan perniagaan kerana dalam dunia perniagaan semuanya boleh berubah dengan pantas. Apabila ini berlaku kebijaksanaan para usahawan melalui idea-idea kreatif dan inovasi memainkan peranan penting untuk menjadi juara dalam persaingan.

“Setiap masalah yang dihadapi perlu diteliti, difahami dan diolah agar ia menepati kehendak pelanggan. Jangan terlalu selesa apabila tiada persaingan kerana kita cenderung untuk tidak mencuba sesuatu yang baharu dan sikap ini bakal memberi impak negatif kepada perniagaan kelak,” ujarnya.

PRUEntrepreneur dianjur­kan oleh Prudential Assu­rance Malaysia Berhad (PAMB), merupakan platform untuk usahawan baharu meneroka, mendapatkan pandangan dan pengetahuan khusus daripada pemimpin industri yang berpengalaman.