Mereka terdiri daripada kalangan pelatih jurusan Elektrikal, Mekanikal, Instrumentasi, Pengeluaran, Proses dan Makmal Analitikal di samping 20 pelatih dari program Instrumentasi Industri & Kawalan.

Mereka merupakan sebahagian daripada 6,274 graduan yang berjaya dilahirkan oleh INSTEP sejak 2007 melalui PTP-1, dan sehingga 2014, sebanyak 92 peratus berjaya mendapatkan pekerjaan di dalam pelbagai sektor.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dalam majlis yang turut dihadiri Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman.

Juga Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hasnan Wan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Technical Training Sdn Bhd (PTTSB) Chandramohan M Saminathan dan pihak pengurusan INSTEP.

Berucap dalam majlis itu, Raiha mengingatkan para graduan agar pegang teguh kepada nilai-nilai murni Petronas iaitu `Loyalty, Integrity, Professionalism & Cohesiveness’ yang berupaya membentuk keperibadian dan tingkah laku untuk kekal dalam industri dan agar lebih berdaya saing.

Beliau turut menyatakan rasa bangga Petronas terhadap usaha INSTEP untuk memastikan setiap aspek pembelajaran kekal relevan dan memenuhi keperluan industri dalam jangka masa panjang yang menyumbang ke arah

meningkatkan kebolehpasaran graduan untuk kekal berdaya saing termasuk di peringkat global.

“Antara langkah strategik yang dilaksanakan oleh INSTEP ialah dengan memastikan pelaburan yang hampir mencecah RM250 juta bagi membangunkan Loji Latihan Huluan/Hiliran yang unik dan dalam kelas yang tersendiri itu, tidak disia-siakan,” ujarnya.

Katanya ini memberi nilai tambah dalam sesi latihan pelatih kerana dapat merasai sendiri pengalaman seolah-olah mengendalikan peralatan dan seperti berada di loji sebenar, selain mendapat pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Beliau menarik perhatian, penurunan harga minyak sejak beberapa tahun yang lepas sememangnya memberikan impak yang besar kepada Petronas dan juga syarikat-syarikat gergasi minyak lain di seluruh dunia.

Katanya, ini memberikan cabaran yang tinggi buat para graduan dari tahun 2015 untuk menapak dalam industri ini namun pemulihan harga sejak kebelakangan ini mampu memberikan peluang yang cerah buat mereka untuk mendapat pekerjaan pada masa depan. - UTUSAN ONLINE