Program selama tiga hari anjuran Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan universiti berkenaan bertujuan menggalakkan pembentukan jaringan perkongsian ilmu, kepakaran dan penemuan inovasi baharu dalam bidang berkaitan.

Perasmian disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT, Prof. Madya Dr. Amiza Mat Amin. Yang turut hadir, Pengarah Institut Akuakultur Tropika UMT, Prof. Dr. Abol Munafi Ambok Bolong.

Persidangan itu turut disertai 11 peserta yang mewakili agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) selain beberapa universiti awam termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan UMT hari ini, sebanyak 17 hasil penyelidikan dibentangkan dalam bentuk poster manakala 48 lagi hasil penyelidikan dibentang secara lisan.

“Hasil daripada persidangan ini, dijangka sebanyak 46 hasil penyelidikan akan diterbitkan di dalam jurnal Scopus Malaysia Applied Biology Journal (MAB),” jelas kenyataan itu.

Program saintifik itu menampilkan beberapa tokoh terkenal dalam bidang masing-masing seperti Dr. Mohd. Shukri Mat Ali dari MARDI, saintis dari Prince of Songkla University, Thailand selain Prof. Ir. Achmad Subagio dari Universitas Jember, Indonesia. - UTUSAN ONLINE