Meskipun menyedari hakikat kepentingan sukan kepada kesejahteraan hidup namun, masih ramai lagi yang tidak bergiat aktif dalam aktiviti tersebut.

Justeru, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil pendekatan menganjurkan program Hari Sukan Universiti Antarabangsa (IDUS) dalam usaha menerapkan budaya sukan dalam kalangan pelajar ke arah melahirkan ramai individu yang produktif.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata, pelajar seharusnya menumpukan penguasaan dalam pelbagai bidang yang tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata tetapi mencakupi bidang lain seperti sukan yang memberi nilai tambah kepada diri mereka.

“Universiti sentiasa memberi sokongan bagi pelaksanaan program dan aktiviti sihat di kampus, serta akan meneruskan usaha menyediakan prasarana dan persekitaran yang baik untuk kegunaan warga kampus.

“Pencapaian akademik semata-mata tidak akan menjamin pelajar untuk diterima terus ke pasaran kerjaya tanpa adanya kemahiran tambahan kerana majikan pada masa ini memerlukan graduan yang berkemampuan tinggi,” katanya.

IDUS dilancarkan pada 2016 oleh Persekutuan Antarabangsa Sukan Universiti (FISU) dan diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Program yang melibatkan aktiviti senamrobik, walkathon dan kayuhan santai turut dihadiri Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Ir. Dr. M. Iqbal Saripan.

Tambah Mohd Roslan, matlamat pelaksanaan program tersebut bertujuan untuk memupuk semangat dan budaya hidup sihat dalam pelbagai aktiviti.

“Menerusi program ini kita berharap dapat mewujudkan kesedaran umum untuk mengamalkan budaya hidup sihat antara universiti dan komuniti setempat dengan memberi tumpuan kepada program berbentuk sukan, aktiviti fizikal dan rekreasi,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden pelajar antarabangsa UPM, Musheer AlJaberi berkata, beliau gembira dapat menyertai program itu kerana secara langsung dapat mempelajari budaya Malaysia.

“Program ini sangat bagus. Sebagai pelajar antarabangsa, saya dapat bergaul lebih rapat dengan pelajar tempatan,” katanya.