Fai zal Bin Mohamma d Ars had
Fai zal Bin Mohamma d Ars had

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Desa Pandan, Faizal Mohammad Arshad berkata, sejak terpilih sebagai Sekolah Ama­nah pada 2013, ibu bapa di sekolah itu turut memainkan peranan termasuk menjadi pembimbing, mo­tivator dan ‘rakan kongsi’ demi kecemerlangan anak-anak mereka.

“Dahulu, penglibatan ibu bapa sangat minimum tetapi melalui strategi yang ditekankan sekolah amanah kami berjaya menarik ibu bapa untuk terlibat secara aktif,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

SK Desa Pandan yang ditubuhkan pada 1999 merupakan sekolah dalam kumpulan kedua terpilih menyertai Program Sekolah Ama­nah yang turut menitiberatkan peng­libatan ibu bapa di sekolah.

Faizal berkata, melalui strategi yang digariskan, PIBG SK Desa Pandan memberi tumpuan kepada empat aspek iaitu pemba­ngunan akademik. pemantapan sahsiah dan rohani murid, pembangunan infrastruktur, dan sukan.

Beliau berkata, tahun lalu sahaja, PIBG SK Desa Pandan telah mengadakan kira-kira 83 program melibatkan ibu bapa dan 50 peratus daripada program itu melibatkan pembangunan akademik.

Beliau berkata, dengan penglibatan agresif ibu bapa, pencapai­an anak-anak secara holistik jelas me­ningkat apabila peratusan lulus dalam subjek utama seperti Matematik dan Bahasa Inggeris telah meningkat kepada lebih 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini.

Bidang sukan turut mencipta kejayaan membanggakan apabila pada tahun ini, pasukan bola sepak sekolah ini muncul johan Zon Pudu dan tempat keempat di pe­ringkat negeri, pasukan bola jaring pula muncul johan bagi Zon Pudu dan johan acara catur bagi Zon Pudu dan tempat kelima terbaik bagi kategori berkumpulan.

Pihak sekolah juga bersetuju mewujudkan Program Aspirasi Seni atas permintaan ibu bapa bagi mengetengahkan potensi anak-anak dalam bidang lain seperti fotografi, teater, seni tari, seni halus dan kompang. Lebih membanggakan, pembimbing bagi semua program tersebut adalah ibu bapa sendiri.