Ketua Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) Pejabat Pendidikan Daerah Larut, Matang dan Selama, Ruslinda Shari berkata, paparan menarik yang diketengahkan selain topik mengikut tema mata pelajaran memudahkan guru untuk mencari bahan PdP selaras dengan pendekatan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21).

Katanya, aktiviti yang terkandung dalam akhbar berkenaan juga dapat membantu guru untuk merancang aktiviti Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam pembelajaran.

“Utusan Pelajar bukan sahaja menarik, malah dari segi kosnya juga amat murah dan boleh diguna pakai semasa sesi pembelajaran di dalam kelas serta di luar waktu persekolahan termasuk di rumah.

“Aktiviti yang diketengahkan menerusi akhbar ini juga nampak lebih berstruktur dan terpulang kepada guru untuk menggunakan kreativiti masing-masing semasa merancang aktiviti KBAT,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Transformasi Daerah Bengkel Kerja Penggunaan Suplemen Pembelajaran Abad Ke-21 di Taiping, Pe­rak, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim; Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan Penolong Pengurus Pendidikan (Pemasaran) Utusan Malaysia, Fauzi Hamdan.

Ruslinda yang juga penyelaras program berkenaan berkata, program selama sehari itu amat menepati tugas dan peranan pegawai SISC+ yang akan ke sekolah-sekolah untuk meningkatkan kualiti PdP guru.

“Input yang diperoleh sepanjang program berlangsung ini diharap memberi banyak pengetahuan yang menjurus kepada pedagogi abad ke-21,” katanya.

Akhbar pendidikan itu juga sebahagian daripada program penjenamaan PAK-21 yang digerakkan oleh Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Sekolah yang berminat untuk melanggan boleh menghubungi Fauzi Hamdan di talian 019-5716282 atau layari laman rasmi www.utusanpelajar.com.my.