Pengarah Pengajian MTD, Razmi Abdul Razak berkata, melalui penggunaan Utusan Pelajar, pihaknya dapat melaksanakan PAK-21 dengan berkesan antaranya aktiviti kajian ringkas, demonstrasi, persembahan, diskusi dan pertandingan.

“MTD amat serius dalam melaksanakn PAK-21 dan melalui rujukan Utusan Pelajar, kami menggerakan program Gallery Walk Perdana, Karnival Inovasi dan pertandingan i-Rysie antarabangsa supaya pelajar dapat memahami dan menguasai sesuatu subjek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pengumuman pelajar terbaik MTD SPM 2017 di Sungai Besi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, menurut beliau, aktiviti pecahan kelas berdasarkan kumpulan atau kompeni pelajar turut menjadi faktor penyumbang kejayaan kerana melaluinya mereka lebih bersemangat dan bersaing sesama sendiri bagi me­lonjakkan nama kompeni masing-masing.

“Program Buddy atau Guru Muda yang melibatkan pelajar cemerlang membantu rakannya yang lemah akademik juga memberi impak besar dalam pencapaian prestasi membanggakan ini,” katanya.