Pengetua SMK Bandar Puter­i Jaya, Osman Omar berkata, penggunaan akhbar pendidikan Tutor SPM dan Utusan Pelajar membantu keputusan cemerlang ini dengan lonjakan pencapaian yang tinggi sehingga tersenarai antara 14 sekolah terbaik keseluruhan peringkat negeri Kedah.

“Seramai 17 pelajar sekolah ini memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil sekali gus menjadikannya sekolah kedua terbaik di Kedah dalam pencapaian peningkatan Gred purata sekolah (GPS).

“GPS pada SPM 2017 ialah 4.99 berbanding 6.39 pada tahun 2016 dengan perbezaan 1,40 merupakan satu keputusan yang amat membanggakan hasil kerja keras dan komitmen semua guru SMK Bandar Puteri Jaya yang memanfaatkan sepenuhnya penggunaan Tutor SPM dan Utusan Pelajar,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain mencapai lonjakan GPS, sekolah ini turut mencatatkan peningkatan bagi semua mata pelajaran SPM 2017 terutama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Sains.

Osman berkata, penggunaan Tutor SPM dalam proses pe­ngajaran dan pemudahcaraan (PdPc) terutama soalan peperiksaan membantu melengkapkan persediaan pelajar.

“Terima kasih Utusan Malaysia kerana membantu pihak sekolah mencari formula terbaik meningkatkan prestasi kecemerlangan murid dan sekolah seterusnya menjadi faktor pe­ningkatan GPS pada kali ini,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, aktiviti Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) yang diperkenalkan di sekolah itu di bawah Utusan Pelajar juga memberi impak positif terhadap pencapaian murid dan ini terbukti pada keputusan SPM 2017.

SMK Bandar Puteri Jaya merupakan sekolah pertama di Kedah diberi penarafan empat bintang dalam program penjenamaan Pembelajaran Abad Ke-21 Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pendi­dikan pada tahun lalu.

Baru-baru ini, SMK Bandar Puteri Jaya mengambil bahagian dalam Simposium Merangkai Titik-Titik dengan mengadakan pameran mengenai pelaksanaan Modul 10 Minit Perhimpunan.