Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, akhbar pendidikan Utusan Malaysia itu sarat de­ngan soalan percubaan dan teknik menjawab melibatkan pelbagai subjek menjelang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan diadakan enam bulan dari sekarang.

Tutor UPSR khasnya bertujuan membantu pelajar menghadapi UPSR, ia memang digalakkan untuk dibaca murid Tahun Lima dan Tahun Enam. Penajaan akhbar pendidi­kan ini oleh Yayasan Eco World adalah kerana ia selaras dengan Program Bantuan Pelajar kami yang membantu pelajar miskin.

“Penajaan akhbar pendidikan ini adalah bermakna dan saya harap murid-murid akan menggunakannya sepenuhnya. Amalkanlah tabiat membaca setiap hari bermula dengan akhbar,” katanya selepas Majlis Pelancaran Penajaan Tutor UPSR di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Kapten (B) Datuk Liew Siong Sing; Pe­ngarang dan Pengurus Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan guru besar, Mohammad Muzammir Moha­mad Yusof.

Sekolah dengan 667 murid dengan 60 peratus daripadanya anak anggota polis itu adalah salah satu daripada sekolah yang menerima tajaan 60 naskhah sebanyak 22 terbitan bernilai RM15,840 bermula bulan ini sehingga September depan.

Sementara itu, Wahid menyifatkan penajaan tersebut sebagai langkah tepat memandangkan Tutor kerap menjadi pilihan dalam aktiviti CSR banyak syarikat swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC).