Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, langkah tersebut amat bertepatan bagi mempelbagaikan cara pembelajaran di sekolah, sekali gus menjadi bahan alternatif utama kepada murid-murid, pelajar dan guru khusus­nya dalam pepe­riksaan utama iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, usaha murni itu wajar menjadi teladan semua pihak khususnya badan dan syarikat korporat yang lain.

“Secara tidak langsung, inisia­tif ini turut menyokong usaha kerajaan dalam menyediakan program yang pelbagai untuk pembangunan pendidikan negara.

“Selain itu, program ini juga dapat menyuntik hubungan kemasyarakatan bersama komuniti setempat serta menerapkan ilmu pendidikan kepada ibu bapa,” katanya ketika berucap merasmikan program Pendidikan Bersama Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan akhbar Tutor dalam talian iaitu tutor.com.my dan menyerahkan sebanyak 6,000 kata laluan dengan jumlah penajaan bernilai RM600,000 kepada para pelajar membabitkan 66 buah sekolah di sekitar daerah ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul dan Pemangku Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud, Anjan Ruddin.

Dalam pada itu, Salleh yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Belud berkata, kerajaan sentiasa komited dalam memberi ruang dan peluang ke arah memartabatkan prasarana infrastruktur untuk melahirkan generasi celik teknologi maklumat meskipun di kawasan luar bandar.

“Ini selari dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang menyasarkan pembangunan serta pertumbuhan yang berpaksikan rakyat.

“Semua guru dan pelajar juga diminta untuk memanfaatkan kemudahan yang diberikan dengan sebaik mungkin dan tidak mempersiakan peluang yang diberikan ini,” ujarnya.