Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, usaha yang diketengahkan Utusan Malaysia perlu dicontohi semua pihak sebagai alternatif mempelbagaikan teknik latih tubi soalan peperiksaan.

Katanya, selepas tiga tahun menaja akhbar tersebut, semua sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sehingga mencapai 96 peratus dalam penguasaan tahap minimun (PTM) tahun lalu.

“Kerajaan sentiasa komited memberikan perhatian sepenuhnya kepada semua rakyat khususnya dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada anak-anak antaranya melalui penajaan Tutor untuk kecemerlangan semua.

“Peranan guru pula amat diperlukan untuk memanfaatkan kemudahan alat bantu me­ngajar yang diberikan ini bagi memastikan anak-anak kita men­jadi insan yang cemerlang dan modal insan berguna kepada negara dan bangsa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Akhbar Tutor 2018 di sini hari ini.

Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, sebanyak RM22,534 diperuntukkan untuk menaja Tutor bagi diagihkan kepada seramai 1,700 pelajar selama 12 minggu.

Sebanyak 28 buah sekolah dalam kawasan DUN Kundasang menerima manfaat daripada tajaan itu, meliputi 24 sekolah kebangsaan dan empat sekolah menengah.

Beliau memberitahu, sebanyak 20,400 naskhah set soalan berbentuk bahan latihan peperiksaan termasuk Akhbar Utusan Pelajar yang merupakan gabungan 10 segmen PdP akan diedar kepada semua pelajar berkenaan.