Guru Matematik Sekolah Model Khas Baling, Abu Bakar Saad berkata, soalan yang tersedia dalam tutor.com.my dapat menggandakan jumlah soalan latih tubi yang boleh dijawab oleh pelajar untuk melengkapkan persediaan mereka sebelum menduduki peperiksaan.

“Pengukuhan kemahiran dan pemahaman konsep hanya boleh dicapai menerusi latihan yang berterusan sehingga mencecah sekurang-kurangnya 2000 soalan.

“Dengan jumlah itu, pelajar tidak akan berdepan masalah dalam menjawab soalan peperiksaan sebenar walaupun format baharu diperkenalkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Bengkel Penataraan Tutor.com.my sempena Program Pendidikan Bersama Utusan Malaysia di Baling, Kedah, baru-baru ini.

Dalam program itu, Kumpulan Utusan menyampaikan sumbang­an berupa kata laluan bagi meng­akses tutor.com.my kepada 7,119 pelajar Baling yang bernilai RM711,900 dan makmal digital bahasa, Renet kepada 200 pelajar yang bernilai RM400,000.

Sementara itu, Guru Sains Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Padang, Afabian Ahmad berkata, pelajar berpeluang menjawab lebih banyak soalan menggunakan tutor.com.my sebagai tambahan kepada soalan ujian, latih tubi yang diberikan guru dan buku latihan.

“Pastinya, pembelajaran interaktif menggunakan telefon pintar ini akan menimbulkan minat yang tinggi untuk pelajar belajar secara kendiri.

“Seharusnya pelajar memanfaatkan kemudahan ini bagi mengisi masa senggang kerana ia boleh diakses di mana-mana sahaja,” katanya.