Pengurus Projek The Right Hand, Adham Anuar berkata, program ini dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan meneruskan pembelajaran sekurang-kurangnya sehingga tamat pendidikan menengah.

“Hal ini penting kerana murid di situ merasakan tiada keperluan untuk mereka meneruskan pembelajaran disebabkan masalah logistik dan keadaan keluarga yang kurang berkemampuan bagi menyambung pengajian sekolah di bandar terdekat, Miri.

“Untuk itu, satu program motivasi khas sehari diadakan mengenai kepentingan pendidikan yang boleh menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik kepada mereka sekali gus menaikkan status keluarga pada masa depan,” katanya.

Sekolah Model Khas K9 Long Bedian ini menyediakan kemudahan pembelajaran untuk murid darjah satu hingga tingkatan tiga.

Seramai 148 pelajar tingkatan dua dan tiga mengikuti program motivasi sebagai persiapan menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini dan tahun depan.

The Right Hand turut menyerahkan bantuan pendidikan hasil sumbangan masyarakat awam serta syarikat swasta untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik serta kualiti aktiviti pembelajaran dan pengajaran di sekolah tersebut.

Antara keperluan yang diserahkan kepada pihak sekolah termasuklah buku-buku rujukan, alat tulis, pakaian harian murid, pakaian seragam dan juga sebuah projektor LCD.

Selain itu, rakan kerjasama projek ini, Persatuan Pergigian Islamik Malaysia (IDAM) dan Persatuan Perubatan Islamik Malaysia (IMARET) mengadakan ceramah kesihatan.

IDAM mengadakan program sehari yang menekankan kepentingan penjagaan kesihatan gigi dari peringkat awal, demonstrasi memberus gigi yang betul dan latihan menggosok gigi serta ceramah secara interaktif.

Sementara itu, IMARET me­ngadakan ceramah kesihatan mengenai pendidikan nutrisi dan gangguan seksual melibatkan golongan remaja.