Pengurus Program, Nur Asyikin Mohd Som berkata, My Study Tour terbuka kepada pelajar sekolah menengah kerajaan dan swasta seluruh negara de­ngan bayaran yang dikenakan bermula daripada RM4,300 meliputi tiket penerbangan dan penginapan sepanjang program itu.

“Kami mendapat kerjasama yang baik daripada pihak luar negara termasuk British Council dan Bahagian Pendidikan Kedutaan Negara Jepun.

“Dengan usahasama ini, kami yakin pelajar akan mendapat pendedahan serta menimba pe­ngalaman yang menarik untuk bergaul bersama-sama pelajar-pelajar asing,” katanya dalam satu kenyataan menerusi e-mel baru-baru ini.

Kejayaan program ini ke UK tahun lalu mendorong NCP mengembangkannya ke Jepun dan Korea Selatan untuk memberi peluang kepada pelajar mendalami budaya dua negara itu.

My Study Tour diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia manakala Utusan Malaysia pula sebagai rakan kerjasama media.

Kementerian Pendidikan me­­nyokong kerjasama Utusan Ma­laysia kerana dapat membantu program ini mencapai matlamatnya untuk memberi pendedahan antarabangsa kepada pelajar sekolah di negara kita.

Jumlah peserta bagi setiap program dihadkan kepada 30 orang sahaja kerana tempat yang terhad ditawarkan oleh sekolah-sekolah luar negara yang dipilih sebagai rakan dalam program ini.

Selain lawatan ke tempat-tempat menarik dan bersejarah, peserta juga akan dibawa melawat ke universiti terkemuka di negara berkenaan sebagai usaha untuk mereka menanamkan impian melanjutkan pengajian ke universiti tersebut.

Menurut Nur Asyikin, program ke Seoul, Korea Selatan akan bermula pada 24 November hingga 1 Disember 2017, manakala Tokyo, Jepun (9-16 Disember 2017) dan London, UK (8-17 Januari 2018).

“Aktiviti dalam program ini dirangka untuk memberi pendedahan yang maksimum, berbaloi dengan jumlah bayaran yang dikenakan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh dirujuk di www.mystudytour.com.my atau hubungi 013-4205000/03-20115220.