Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4 Kota Damansara, Nur Ayu Athikah Azmal, program ini membantu meluaskan pemikiran dan pengetahuan peserta mengenai budaya, sikap serta kecanggihan teknologi negara Jepun.

“Uniknya program ini adalah peluang melawat ke Institut Teknologi Tokyo yang menempatkan super computer paling canggih dalam kecekapan tenaga, Tsubame 3.0.

“Kami mendapat peluang yang sangat istimewa untuk melihat super computer tersebut di depan mata dan juga menyaksikan proses penyelenggaraan yang mereka lakukan untuk memastikan Tsubame 3.0 sentiasa berfungsi dengan baik,” jelasnya menerusi e-mel, baru-baru ini.

Selain ke institusi pengajian tinggi, peserta program selama tujuh hari ini turut dibawa merasai pengalaman belajar di sekolah Ikubunkan High School.

Pengalaman ini, kata pelajar SMK Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya, Nabila Husna Rosli, sangat bermanfaat, menarik dan menyeronokkan.

“Pembelajaran di sekolah tersebut bukan semata-mata untuk akademik tetapi lebih memfokus ke arah kemahiran,” katanya.

Dia menambah, peluang bela­jar bersama-sama itu dapat mem­­perkembangkan kemahiran me­reka untuk berkomunikasi, ber­interaksi dan bersosial dengan pelajar serta masyarakat luar negara.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Nur Syafinaz Md Mazlan kagum dengan pelajar Jepun yang begitu hormat kepada guru-guru mereka selain sangat berdisiplin dan amat menepati masa.

“Buktinya, pelajar Jepun akan bergerak pantas seakan-akan berlari untuk masuk ke kelas lebih awal daripada guru mereka.

“Saya akan mengambil iktibar dan cuba menerapkan amalan murni ini ke dalam diri agar dapat menjadi orang yang lebih cemerlang,” kata pelajar SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara ini.

Kata Nur Syafinaz, program ini berjaya meningkatkan keyakinan dirinya sekali gus menjadi lebih berani untuk berhadapan dengan orang asing.

Dalam pada itu, program ini turut membawa peserta melawat ke destinasi tumpuan pelancong seperti Disneyland, Menara Tokyo, Akihabara, Shibuya dan Harajuku.

My Study Tour diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan dan Utusan Malaysia sebagai rakan kerjasama media.

Untuk maklumat lanjut, layari www.mystudytour.com.my.