Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, pihaknya akan menyerahkan beberapa hasil kajian daripada pertubuhan bukan kerajaan dan lapan universiti awam.

Katanya yang juga Perunding Bahasa Majlis Perundingan Melayu (MPM), setakat ini, lebih 10 kajian berhubung perkara berkenaan telah dijalankan.

“Sebenarnya kita sudah hantar banyak kali. Ini ulangan terus-menerus. Dibacakan atau tidak itu soal lain.

“Oleh sebab itu kita kena bersedia. Cadangan PPSMI dahulu tidak ada kajian, tidak ada apa terus dilaksanakan pada 2003. Saya khuatir dengan pengumuman Perdana Menteri yang mengatakan dalam tempoh terdekat beliau akan buat perubahan iaitu transformasi pendidikan. Salah satu adalah bahasa Inggeris. Saya khuatir dalam konteks itu, ia akan melaksanakan semula PPSMI,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program penerangan kajian PPSMI di Wisma MPM di sini hari ini.

Yang turut hadir sebagai ahli panel ialah Presiden Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Abdul Rauf Hussin.

Awal Mac lalu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah dan pada masa sama pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan tetap diteruskan.

Jelas Perdana Menteri, pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran mata pelajaran itu, manakala ada pula menentangnya selain ramai berpendapat bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang yang lulus lebih mudah diterima di pasaran. - UTUSAN ONLINE