Setiausaha program, Nor Aziah Abu Bakar berkata, kejayaan acara juga adalah hasil kerjasama padu Pejabat Pendidikan Daerah Manjung dan komitmen tinggi 94 guru pemulihan khas di daerah itu serta kesemua guru pengiring sekolah yang menghantar peserta.

“Program ini bermatlamat meningkatkan keyakinan, penyertaan dan galakan kepada murid untuk menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang di samping melahirkan kesedaran bahawa pembelajaran adalah menyeronokkan seterusnya meningkatkan penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira).

“Idea pembinaan bahan bantu belajar bercirikan inovasi membuktikan guru pemulihan khas sentiasa bersedia menyusun strategi berkesan terhadap kemenjadian murid ke arah pembelajaran abad ke-21 (PAK-21), malah program menjadi medan mengembangkan potensi setiap murid pemulihan khas,” kata­nya.

Perasmian penutup disempurnakan Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Mohamad Akhir Abdul Latif.

Yang turut hadir, Penolong Pengarah Pemulihan Khas JPN Perak, Eni Zanifah Mohd. Jaberi dan Zuraida Othman.

Beberapa aktiviti murid pemulihan dilaksanakan dalam program itu antaranya Sukaneka Literasi, Sukaneka Numerasi, Explorace Literasi, Explorace Numerasi, Pertandingan Bercerita Hafalan, Pertandingan Bercerita Petikan dan pameran bahan inovasi serta bahan bantu belajar sebagai pencetus idea kepada pengunjung.

Mohamad Akhir dalam ucap­an beliau berkata, program se­perti ini perlu diteruskan supaya dapat meningkatkan keyakinan diri dan mengembangkan inte­raksi sosial murid memandangkan program bukan sahaja melibatkan SK, malah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan SJK Cina.

“Harapan untuk murid-murid pemulihan khas berjaya dalam pelajaran adalah suatu yang tidak mustahil justeru, guru pemulihan khas yang kreatif lagi inovatif amatlah berperanan dalam membimbing mereka sebaik-baiknya,” kata beliau.