Pelajar dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA), Bandar Tun Razak itu berkata, kejayaan turut didorong sifat ketekunan menghafaz dan mengulangkaji pelajaran selama lapan jam setiap hari sejak belajar di tingkatan satu.

Katanya, rutin menghafal al-Quran membuatkannya lebih mudah untuk mengingati dan memahami setiap pembelajaran yang diajar oleh guru.

“Menghafaz al-Quran me­rangsang daya ingatan menjadi lebih tajam dan fokus kepada setiap subjek terutamanya Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

“Saya juga membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi peperiksaan bagi menge­lakkan belajar pada saat akhir,” katanya.

Muhammad Fitri Naim berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2018 bagi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di SMA-MAIWP Kuala Lumpur, hari ini.

Dia yang baharu dinobatkan sebagai Johan Hafazan Peringkat Wilayah Persekutuan 2018 berkata, kejayaan itu membuktikan pelajar yang mengikuti aliran pendidikan berteraskan Islam dan hafazan al-Quran mampu mencapai kecemerla­ngan dalam bidang akademik khususnya aliran sains.

Luahan yang sama turut dikongsi pelajar Pondok Mo­den al-’ABaqirah, Adam Saiful Bahar, 18, yang menyifatkan hubungan yang baik dengan guru dan ibu-bapa menjadi kunci kejayaan meraih 8A.

“Saya akan ba­ngun pada pukul 5 pagi setiap hari untuk melakukan sesuatu dan tidak pernah lupa berdoa kepada Allah,” katanya yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Madinah, Arab Saudi.

Seramai 323 calon daripada institusi-institusi pendidikan MAIWP menduduki SPM pada tahun lalu yang mana daripada jumlah itu seramai 168 calon dari SMA-MAIWP Kuala Lumpur, diikuti SMISTA (54), SMA-MAIWP Labuan (41) dan Pondok Moden al-’ABaqirah (60).

SMA-MAIWP mencatatkan peningkatan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 apabila empat daripada 168 calon memperoleh 11A, di­ikuti 11 calon (10A) dan 13 calon (9A).