Namun apabila memikirkan tentang anak-anak mereka, Noor Ezza Rina menganggap itu adalah hadiah terakhir yang istimewa daripada arwah suaminya, Mohd. Fairus Ramlan, 30, untuk mereka sekeluarga.

“Arwah suami saya sangat bertanggungjawab dan bersikap periang orangnya. Pemergiannya pada 13 Ogos lalu akibat jangkitan kuman pada hati adalah sesuatu yang tidak disangka namun sebagai hamba-Nya, kami menganggap ini adalah takdir yang harus ditempuhi.

“Dengan ijazah yang diterima suami selain ia menjadi kenangan terindah, saya berharap ijazah ini mampu menjadi pembakar semangat buat anak-anak kami untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Noor Ezza Rina berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menerima ijazah sarjana bagi pihak arwah suami­nya dalam Majlis Konvokesyen Ke-45 Sesi Kedua di UKM, di sini hari ini.

Ijazah bagi Program Kese­lamatan Siber berkenaan disam­paikan oleh Pro-Canselor UKM, Tunku Naquiyuddin Tun­ku Ja’afar. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Ibrahim Saad serta Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.

Menurut Noor Ezza Rina lagi, arwah suaminya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak dan bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Metro Sungai Gelugor, Pulau Pinang itu bukanlah seseorang yang mudah berputus asa.

“Kita dapat lihat yang dia begitu komited dalam melakukan apa-apa perkara yang ditugaskan dan antara salah satunya adalah dia mahu menyelesaikan pengajian ini sebaik mungkin namun Allah lebih sayangkan dia.

“Sebagai isteri, walaupun masih bersedih namun saya tetap merasa bangga dengan penca­paian arwah suami dan berdoa agar kedua-dua anak kami iaitu Liyana Zahirah, 6, dan Mohamad Firdaus, 4, akan mengikuti jejak langkah arwah bapa mereka,” katanya.

Arwah Mohd. Fairus merupakan antara 1,078 pelajar daripada fakulti Undang-undang, perubatan dan kejururawatan serta teknologi dan sains maklumat yang turut menerima ijazah sarjana serta ijazah sarjana muda, hari ini.