Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana tanggungjawab seorang guru bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu kepada anak didik bahkan memupuk budaya taat setia dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, guru berperanan penting dalam memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh pada agama dan nilai sejagat.

“Secara tuntasnya, pembinaan negara bangsa berkait rapat dengan pendidikan yang menitikberatkan semangat patriotik, jati diri, dan perasaan cinta yang mendalam terhadap tanah air.

“Inilah contoh pimpinan yang sebenar kerana bimbingan secara berterusan dapat menentukan anak didik menjadi manusia yang berguna dan bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara,” katanya dalam majlis Prapelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2016 Kali-45 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk P. Kamalanathan.

Sambutan Hari Guru pada tahun ini bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa.

Utusan Malaysia terlibat menganjurkan Festival dan Pameran Pendidikan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 13 hingga 16 Mei ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof.