Ketua Sektor Pengurusan dan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azuar Hussin berkata, kolokium ini membolehkan guru berkongsi pembentangan kajian tindakan, amalan baik dan inovasi pengajaran untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Menerusi kolokium ini, guru dapat banyak manfaat dan mempelajari kepelbagaian teknik untuk menguruskan aktivti PdP yang sesuai dengan keperluan murid masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kolokium tersebut di Kolej Antarabangsa Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kolokium yang dianjurkan dengan kerjasama Kolej Antarabangsa YPC itu disertai 40 guru cemerlang Wilayah Persekutuan.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Antarabangsa YPC, Datuk Dr. Noel Robert.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang WPKL, Lee Saw Im berkata, Kolokium Profesionalisme Guru Cemerlang merupakan kursus latihan dalam perkhidmatan.

Menurut beliau, kolokium ini menjadi medan perkongsian amalan terbaik dan inovasi sesama guru yang boleh digunakan dalam menjalankan aktiviti PdP di samping mengoptimumkan potensi diri mereka.

“Diharapkan selepas tamat ko­lokium ini, peserta akan berkongsi maklumat, pengalaman dan pengetahuan baharu yang mereka peroleh dengan rakan sejawat di sekolah masing-masing,” katanya.

Seterusnya, kata Saw Im, semoga penganjuran kolokium ini berjaya mencapai objektifnya untuk membantu mencapai aspirasi PPPM 2013-2025.

Dalam kolokium itu, guru-guru cemerlang, pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan dan Pegawai SISC+ membentangkan 10 kertas kerja mereka.