Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku itu bagaima­napun bertuah kerana para guru sudi menjemput dia ke sekolah setiap pagi dengan menaiki kereta mereka dan bersedia menghantarnya pulang ke rumah sepanjang UPSR berlangsung.

Guru Besar SK Cherang Ruku, Faxrurazi Nasir berkata, bapa kanak-kanak itu, Amran Awang yang berkhidmat di Markas Ang­katan Tentera Malaysia di Kem Kementah, Kuala Lumpur tidak dapat pulang ke Kelantan dan memohon ihsan pihak sekolah supaya membantu anaknya.

“Kami membantu berasaskan kepada konsep kebersamaan tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan keperluan murid dalam hal pendidikan dipenuhi. Bantuan ini juga sejajar dengan Program Penya­yang yang dilaksanakan pihak SK Cherang Ruku.

“Jadi sepanjang UPSR ini, para guru akan bergilir-gilir menjemput Muhammad Arif Muizzudin ke sekolah dan menghantarnya pulang ke rumah setiap hari,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengi­ringi Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Harun Yusof melawat pusat peperiksaan SK Cherang Ruku, di sini hari ini.

Ketika lawatan itu, Harun turut meminta pihak pengurusan menyediakan meja lebih besar khusus untuk murid tersebut sepanjang UPSR bagi memboleh­kan dia menjawab soalan dalam keadaan lebih selesa.

Faxrurazi dalam pada itu memberitahu, sepanjang berada di sekolah, Muhammad Arif Muizzudin bergerak menggunakan kerusi roda yang dipinjamkan bekas Yang Dipertua Persa­tuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Cherang Ruku, Muhammad Ibrahim.

“Kita berterima kasih kepada Muhammad kerana prihatin serta sanggup membawa kerusi roda milik keluarga sendiri demi keselesaan murid ini. Jasa beliau dalam PIBG SK Cherang Ruku yang mencecah hampir 30 tahun amat dihargai,” katanya.

Menurut Faxrurazi, antara pengorbanan lain dibuat para guru sekolah itu ialah menunaikan tanggungjawab sosial menyediakan sarapan pagi percuma kepada calon UPSR setiap hari.