IZANI ZAKARIA
IZANI ZAKARIA 

Timbalan Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Izani Zakaria berkata, kebanyakan sekolah menggunakan bas persiaran untuk aktiviti luar berbanding perkhidmatan yang disediakan oleh pihaknya.

Beliau berkata, keadaan tersebut menyebabkan pihaknya mengalami kerugian disebabkan bas mereka tidak ‘bergerak’ ketika bukan waktu persekolahan.

“Ada stigma dalam kalangan pengurusan sekolah untuk tidak menggunakan bas sekolah bagi aktiviti luar walaupun bas yang kami sediakan adalah lebih baik malah bas baru.

“Kami agak pelik kerana mereka seolah-olah tidak mahu menggunakan bas berwarna kuning, sedangkan bas sekolah mempunyai insuran pelajar berbanding bas persiaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Izani berkata, setiap kali menjelang cuti sekolah terutama pada ketika hujung tahun, mereka tidak mampu untuk mencari makan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pengusaha bas sekolah tidak mampu untuk menampung kos penyelenggaraan.

“Setiap kos penyelenggaraan meningkat tetapi tambang bas tidak naik. Kami tidak mampu untuk bertahan sekiranya keadaan ini berterusan.

“Justeru, kami merayu kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan memandang serius ini dengan mengeluarkan pekeliling kepada setiap sekolah supaya menggunakan bas sekolah untuk aktiviti luar,” katanya. - UTUSAN ONLINE