Titah baginda, terdapat segelintir individu yang tidak bertanggungjawab dan berfikiran singkat telah memilih untuk mencetuskan kebinasaan melalui cara sedemikian.

"Malah mereka juga tidak mewakili mana-mana bangsa, agama mahu pun fahaman," titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri dan seterusnya menyempurnakan Sidang Keenam dan terakhir Bagi Istiadat Konvokesyen Ke-13 Universiti Malaysia Perlis (Unimap) 2018 di Dewan Ilmu Unimap, Pauh Putra di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Unimap, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Baginda yang juga Tuanku Pro Canselor Unimap seterusnya turut menyeru para graduan agar bertekad membantu kerajaan memerangi dadah.

"Ini juga ancaman terhadap kemajuan dan peradaban dunia. Amat mendukacitakan apabila ia bukan sahaja mempengaruhi golongan belia, malah remaja yang masih di bangku sekolah.

"Justeru, menjadi tanggungajawab kepada para graduan berperanan aktif membantu dalam membanteras gejala ini di dalam masyarakat," titah baginda.

Untuk sidang ke enam konvokesyen tersebut, seramai 646 orang Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dan Kejuruteraan serta Diploma Kejuruteraan menerima ijazah masing-masing daripada Tuanku Hajah Lailatul Shahreen.

Mereka adalah para graduan daripada jurusan Sarjana Muda bagi Mekanikal-Sistem Pertanian seramai 48 orang, Mekanikal - Pembangunan Produk (41), Mekanikal - Pemprosesan Bahan (43), Kejuruteraan Bioproses (71), Kejuruteraan Biosistem 59).

Selain itu, Diploma Kejuruteraan - Pembuatan (56), Elektrik (62), Metalurgi (76), Mikroelektronik (70), Mekatronik (55), Komputer (63) dan Anugerah Pingat Emas Naib Canselor (2). - UTUSAN ONLINE