Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelatih-pelatih GIATMARA sering merangkul kejuaraan dan pelbagai anugerah dalam banyak pertan­dingan termasuk di peringkat Asia Tenggara dan dunia.

Menurutnya, GIATMARA turut menghantar tiga pelatihnya dalam bidang senireka rambut, pendawaian elektrik dan penyejukbekuan dan penyaman udara bagi mewakili Malaysia dalam World Skills Competition yang diadakan di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Selain itu, seramai enam pelatih GIATMARA antaranya da­ri­pada kursus pendawaian elek­trik dan senireka gaya rambut akan mewakili negara dalam pertandingan ASEAN Skills Competition yang bakal diadakan pada September ini,” katanya pada sidang akhbar selepas me­rasmikan bangunan GIATMARA Jerai di sini baru-baru ini.

Tturut hadir, Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pemba­ngunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah dan Pengerusi GIATMARA, Datuk Azian Osman.

Menurut Ismail Sabri, selain pencapaian para pelatihnya, tenaga pengajar GIATMARA juga memiliki kemahiran yang tinggi dalam bidang masing-masing.

“Dari segi tenaga pengajar juga kita pastikan mereka berkemahiran... sebagai contoh bagi kursus latihan dalam bidang industri rel dan kereta api, kita hantar 10 tenaga pengajar ke China untuk pengajaran program ber­kenaan,” jelasnya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 230 GIATMARA di seluruh negara yang menawarkan 667 kursus dengan kursus terbaharu iaitu kursus Ae­roangkasa diperkenalkan sejak Julai lalu membabitkan 20 pelatih.

“GIATMARA akan memastikan penawaran kursus adalah selaras dengan permintaan serta perkembangan semasa di negara ini dan disesuaikan dengan kebolehpasaran pekerjaan di sesuatu kawasan itu.

“Kursus pembaikan bot bakal dikembangkan lagi terutama di kawasan seperti Kuala Kedah berdasarkan keperluan industri di kawasan tersebut dan kita akan rangka lagi kursus yang dirasakan bersesuaian,” tegasnya.

Terdahulu, beliau merasmikan bangunan GIATMARA Jerai yang dibina dengan kos sebanyak RM8.1 juta di atas tapak seluas dua hektar.

GIATMARA Jerai menawarkan kursus seperti pendawaian elektrik, teknologi penyejukbekuan dan penyaman udara, fesyen dan jahitan dan penyelenggaraan industri.