Syafiqah, 22, memperoleh ija­zah Sarjana Muda (Kepujian) Perniagaan Antarabangsa yang di­sampaikan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro-Canselor Unimap pada Sidang Keempat istiadat konvokesyen berkenaan kelmarin.

Lebih menggembirakan dan disimpan sebagai kenangan pa­ling manis apabila Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan untuk bergambar kenangan bersama beliau dan bapanya, Zainu’l Azhar Ash’ari yang turut pernah bertugas sebagai Ketua Biro Perlis dari tahun 2011 hingga 2014 dan juga ibunya, Azizah Mat Daud.

Turut hadir sama Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Anak kedua dari lima adik beradik ini bercadang untuk me­lanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang yang sama kerana sebelum ini dipilih atas dasar minat.

“Saya mungkin akan pilih Unimap kerana setakat ini sudah serasi dengan corak pengajian di sini,” katanya.

Sebelum itu, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen bertitah, gra­duan perlu menguruskan kewangan masing-masing dengan sebaik mungkin agar tidak muflis melalui gaya hidup melampau batas.

Baginda bertitah, berdasarkan rekod, seramai 1,157 individu di bawah umur 25 tahun telah diisytiharkan muflis sepanjang 2012 sehingga September 2016.

“Rekod juga menunjukkan bahawa 22,581 kes muflis melibatkan individu berusia antara 25 hingga 34 tahun dan ini menunjukkan mereka rata-ratanya adalah daripada generasi muda,” titah baginda.

Titah baginda, penggunaan kad kredit dan pembelian kereta berjenama mewah didapati me­rupakan antara penyumbang utama kepada status muflis dalam kalangan graduan apatah lagi di saat negara mengharapkan gene­rasi baharu sebagai pemangkin ekonomi negara.