Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, penyelarasan itu bagi membolehkan guru-guru terlibat memiliki satu skim gaji minimum seperti mana dinikmati kebanyakan sektor lain di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, pemberian gaji minimum tersebut perlu sebagai langkah menjadikan profesion pendidikan awal kanak-kanak sebagai satu pekerjaan tetap dan bukannya hanya dilakukan secara sambilan.

“Saya telah mempengerusikan mesyuarat khas, Majlis Sosial Negara,Jumaat lalu dan dalam mesyuarat itu beberapa cada­ngan telah dikemukakan bagi menyelaraskan pengendalian pendidikan awal persekolahan yang dikelolakan kementerian terlibat dan pihak swasta.

“Antaranya termasuklah melibatkan skim gaji guru-guru, sukatan pelajaran dan kursus jangka pendek yang diwajibkan bagi semua guru yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah Politeknik Bagan Datuk di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Pengarah Unit Penyela­rasan Perlaksanaan (ICU), Tan Sri Ahmad Zaki Ansore Mohd. Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kewujudan tadika dan prasekolah yang semakin banyak di negara ini menyebabkan tiada keselarasan dalam sukatan pelajaran peringkat awal kanak-kanak di tadika dan prasekolah milik kerajaan dan swasta.

Sehubungan itu, katanya, me­syuarat tersebut turut mencadangkan untuk menyelaraskan semua sukatan pelajaran sekolah-sekolah berkenaan berdasarkan persetujuan bersama antara ja­batan, kementerian dan swasta.

Katanya, ini bertujuan agar ia dapat memberikan keberhasilan dalam membentuk sahsiah kepada pelajar dan murid sebelum memasuki sekolah.