Menariknya, program ini telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Geomatik (GEOMASS) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik (PPSUG), Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM) dan International Federation of Surveyors (FIG).

FIG adalah satu badan organisasi antarabangsa yang berkaitan ukur, pemetaan dan geospatial dimana ianya telah memutuskan bahawa tanggal 21 Mac adalah sebagai Global Surveyors’ Day.

Program yang julung kali diadakan di UiTM ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Akademik, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), Prof. Madya Dr. Emma Marinie Ahmad Zawawi bagi mewakili dekan Fakulti.

Dalam ucapan beliau, FIG telah mengisytiharkan 21 Mac sebagai Global Surveyors’ Day sebagai satu inisiatif untuk memberikan kesedaran kepada dunia tentang kepentingan juruukur dan peranannya dalam pelbagai bidang kerja di seluruh dunia.

"Aktiviti seperti pameran dari agensi-agensi kerajaan, badan berkanun dan swasta diharapkan dapat memberi pendedahan kepada para penuntut pusat pengajian ini tentang peranan dan aplikasi bidang geomatik dalam pelbagai projek di luar sana. Selain itu, diharapkan GSD ini dapat memberikan pendedahan kepada warga UiTM secara keseluruhannya tentang bidang geomatik," katanya.

Turut hadir Ketua PPSUG, Dr. Eran Sadek Said Md Sadek dengan ratusan pengunjung yang terdiri daripada pensyarah, alumni, agensi kerajaan dan swasta, pelajar dan orang awam dari seluruh negara.

Dalam ucapan pembukaan, Eran meluahkan rasa terima kasih atas sokongan semua pihak dan berharap segala matlamat aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dalam program ini tercapai dengan jayanya.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah hari terbuka PPSUG, pameran, ceramah profesional, forum 'flat earth?', kempen derma darah, santai bersama alumni dan beberapa program yang melibatkan pelajar dan pengunjung.

 

leper2

Forum “Flat Earth?” menghangatkan lagi sambutan Global Surveyors’ Day 2019. Menampilkan dua panel, Prof. Madya Dr. Jasmee Jaafar (UiTM) dan Mohammad Redzuan Tahar (ANGKASA) yang dipengerusikan oleh Shahrizal Ide Moslin (ANGKASA). Gambar oleh Muhammad Bahtiar Masidi.

 

Selain kehadiran agensi-agensi luar seperti MacGDI, Pusat Hidrografi Negara, Prasarana Rapid Rail, Bandwork, Sky-Shine, Petronas, Ascent Geosystem dan Klinik Kesihatan UiTM, program ini turut digamatkan dengan forum sensasi dengan tajuk: Adakah bumi berbentuk flat atau sfera?

Forum yang dipengerusikan oleh Shahrizal Ide Moslin dari ANGKASA menampilkan dua pakar dalam bidang Astronomi dan Sains Ukur Geomatik, iaitu Mohammad Redzuan Tahar dan Prof. Madya Dr. Jasmee Jaafar. Forum ini telah menarik ramai penonton untuk mendengar dan bertukar pendapat dengan panel.

Sambutan GSD 2019 ini juga disambut oleh pelajar PPSUG yang sedang menjalani program khemah ukur di kem PLKN Merbok Kedah.

Aktiviti utama yang dijalankan adalah cerapan malam dan tayangan video berkenaan dengan ekplorasi cakerawala. Bertepatan dengan kedudukan bulan perigee, pengunjung dalam menyaksikan keindahan bulan penuh, Bintang kejora, Buruj Orion dan beberapa lagi objek calerawala.

Penduduk sekitar Merbok telah sama-sama hadir bagi memeriahkan sambutan GSD 2019.

Menurut pengarah program, Dr. Saiful Aman Sulaiman, program sambutan di Merbok adalah untuk mempromosikan bidang ukur kepada masyarakat umum. Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Kedah telah turut bersama-sama membantu dalam membuat cerapan malam.

Program ini dijayakan dgn kerjasama pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Pembinaan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam.

- Utusan Online