Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program Foodbank Malaysia akan diper­luaskan ke kampus universiti awam dengan menyalurkan bantuan makanan kepada mahasiswa memerlukan.

Menurutnya, KPDNHEP memainkan peranan sebagai penghubung dan mendapatkan komitmen daripada pasar raya untuk menyumbangkan lebihan makanan (food surplus) yang masih selamat untuk dimakan dan diambil oleh rakan strategik kementerian iaitu Food Aid Foundation, Kechara Soup Kitchen dan Mutiara Foodbank bagi tujuan pengagihan.

“Saya mengambil maklum isu mahasiswa mengikat perut seperti dilaporkan oleh media sebagai berita utama baru-baru ini.

“Isu ini telah mendapat perhatian Kabinet dan topik ini dibincangkan secara mendalam bersama Kabinet,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu baru-baru ini melaporkan tentang perit-jerih mahasiswa di Universiti Malaya (UM) yang terpaksa menahan lapar akibat kekangan kewangan.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kementeriannya telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada KPDNHEP bagi menyediakan 14 unit lori dilengkapi pendingin untuk kegunaan program Foodbank Malaysia.

Beliau berkata, menerusi Foodbank Malaysia, makanan percuma dapat diedarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk di 20 universiti awam.

Ditanya tentang mekanisme digunakan bagi memastikan kejayaan program ber­kenaan, Saifuddin berkata, operasi Foodbank Malaysia di kampus universiti awam akan dikendalikan oleh mahasiswa dengan sokongan KPDNHEP dan rakan strategik kementerian bagi memperkasa kempen kesukarelawanan di peringkat universiti.