Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bertitah, UiTM selaku salah sebuah institusi pen­ting negara perlu memanfaatkan segala sumber, kepakaran serta pengalaman bagi memastikan objektif itu tercapai.

“Anggota akademik UiTM per­­lu terus meningkatkan lagi akti­viti pemerolehan geran penyelidikan, sama ada dari dalam negara mahupun antarabangsa.

“Apa jua penyelidikan yang dilakukan haruslah memberi impak positif dan memberi manfaat terhadap kehidupan sejagat masyarakat di luar sana,” titah Seri Paduka.

Sultan Muhammad V bertitah demikian sempena Istiadat Konvokesyen Ke-88 UiTM yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Arshad Ayub dan Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said.

Dalam Istiadat Konvoke­syen Ke-88 yang bermula hari ini hingga 29 April, seramai 25,886 graduan berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Dalam perkembangan yang sama, Sultan Muhammad V turut menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan dan pencapaian UiTM dalam pelbagai aspek sejak ia ditubuhkan.

“Syabas beta ucapkan kepada UiTM kerana mengambil inisiatif dengan memandang ke hadapan melalui pelbagai agenda dan usaha yang dilakukan.

“Beta yakin UiTM mampu mengekalkan reputasi graduan yang dilahirkan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, ber­kualiti serta memenuhi keperluan kemahiran dan pengetahuan masa kini,” titah Seri Paduka.