Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, jus­teru, Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK-21) merupakan satu tuntutan untuk melahirkan pelajar yang mampu bersaing dan menangani cabaran di peringkat global.

Dalam masa sama, baginda turut menyarankan agar ibu bapa serta guru sentiasa memberi nilai tambah kepada diri sendiri dengan terus belajar dan menimba ilmu pengetahuan agar kekal relevan dengan peredaran zaman.

“Untuk berdepan dengan cabaran tersebut, ibu bapa dan guru hendaklah sentiasa kompeten dan mengemas kini pengetahuan dengan bijaksana dalam mengurus perubahan seiring de­ngan keperluan anak-anak pada masa depan,” titah baginda selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Derma 2018 di Dewan Syed Mahmood, di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man.

Keberangkatan tiba baginda disambut Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Az­man Ghazali dan Pengetua SMK Derma, Aslina Yob.

Pada majlis tersebut, seramai 86 orang terdiri daripada pelajar cemerlang tingkatan satu hingga enam sekolah tersebut menerima anugerah.

Selain itu, Raja Perlis turut berkenan menyampaikan Anugerah Khas Yayasan Tuanku Syed Putra kepada pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di negeri ini.

Untuk rekod, SMK Derma terus muncul sebagai sekolah terbaik negeri ini dalam keputusan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan baru-baru ini.