Mohd. Khairul Amin Mohd. Yusof, 20, dan Muhammad Na’imullah Fairul Nizam, 20, mempertaruhkan projek Suis Pintar (Smart Switch) sementara Mohamad Nabil Daniel Jasmi, 18, dan Mohamad Hafizan Zakaria, 18, pula menerusi projek Kunci Keselamatan Pintu (Door Lock Security).

Kedua-dua pasukan berkenaan yang diiringi dua guru pengiring, Raudzatul Mardziah Abd. Satar dan Rosma Hamid, dinobat sebagai penerima pingat emas IPiTex 2019 menewaskan pesaing dari negara seperti Jepun, Korea Selatan, China, United Kingdom termasuk beberapa negara dari Eropah dan Amerika.

IPiTex 2019

PROJEK Suis Pintar (Smart Switch) turut mengungguli pingat emas dalam Pameran Intelektual, Hartanah, Reka Cipta dan Teknologi Antarabangsa Bangkok (IPiTex) 2019 di Bangkok, Thailand.

Pengarahnya, Nazhar Kader Bawa berkata, Kolej Vokasional bukan sekadar melahirkan jaguh kampung, sebaliknya berjaya memastikan graduannya mampu bersaing diperingkat antarabangsa setaraf dengan negara-negara maju.

“Penglibatan pelajar Kolej Vokasional ke Bangkok berjaya membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat antara bangsa mewakili Malaysia ke pesada dunia menerusi inovasi teknologi.

“Selaras dengan visi Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Kementerian Pendidikan, pasukan Inovasi KVNT mampu meningkatkan kemahiran seiring Revolusi Industri 4.0 dalam elemen Internet of Things (IoT) dan big data,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online, hari ini.

IPiTex 2019

KUNCI Keselamatan Pintu (Smart Door Lock) menjadi salah satu taruhan Kolej Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang dalam Pameran Intelektual, Hartanah, Reka Cipta dan Teknologi Antarabangsa Bangkok (IPiTex) 2019 di Bangkok, Thailand.

Dalam pada itu, Penyelaras Jawatankuasa Inovasi KVNT, Nurul Najwa Addawiyah Shahidan, memberitahu kejayaan berkenaan turut memberi laluan kepada kedua-dua pasukannya untuk mara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Selepas menjuarai IPiTex 2019 di Bangkok, peserta dari KVNT ditawar untuk menyertai Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa (ICAN) 2019 yang akan diadakan di Kanada tidak lama lagi,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE