Melihat kepada kepentingannya, Empower Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) melaksanakan sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memfokuskan keperluan meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar bawah Program Pembangunan Modal Insan ECER.

Program Empower adalah satu program pembangunan modal insan ECER yang dijalankan di Pahang, Kelantan dan Terengganu, merangkumi dua komponen, iaitu Program Kemahiran Akademik dan Program Kemahiran Keusahawanan.

Antara daerah yang terlibat ialah Raub, Pahang di mana Empower ECER Raub melaksanakan program berkenaan sejak 2012 dengan sasaran terhadap pelajar yang lemah dalam pelajaran dari keluarga berpendapatan rendah.

Menurut Pengurus Besar, Pejabat Wilayah Pahang ECER, Datuk Mohd. Mazlan Sharudin, untuk Program Kemahiran Akademik, objektif utama adalah untuk meningkatkan kecemerlangan bidang akademik melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, sekolah-sekolah yang dipilih merangkumi sekolah yang mempunyai gred purata sekolah (GPS) yang lemah serta mendapat pencalonan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Pada awal pelaksanaan, Bentong menjadi daerah pertama program. Raub menjadi lokasi kedua, yang mana ketika ini, sebanyak lapan sekolah dipilih mengikuti program berkenaan sejak 2012 dengan seramai 2,785 peserta yang terlibat. Setiap tahun, jumlah penyertaan meningkat dengan kerjasama yang baik daripada pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa pelajar,” katanya.

Melalui program berkenaan, dua kategori dilaksanakan iaitu melibatkan sekolah Orang Asli, iaitu murid darjah empat dan lima serta murid yang menduduki UPSR, manakala untuk sekolah bukan Orang Asli melibatkan pelajar PT3, UPSR dan SPM.

Bawah Program Kemahiran Akademik pula, ia merangkumi latihan pembelajaran, sahsiah diri, program motivasi pelajar serta motivasi ibu bapa dan guru-guru.

“Program sahsiah dan motivasi diri ini amat penting bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada ibu bapa. Sebagai orang tua, mereka perlu memahami perjalanan pembelajaran anak-anak agar boleh menjadi individu yang dapat memberi semangat kepada anak-anak.

“Program kita adakan ada dalam bentuk program sehari dan ada juga melibatkan penganjuran kem selama tiga hari dan disertai penceramah-penceramah jemputan selain ia diadakan berterusan sepanjang tahun,” jelasnya.

Tambah beliau, sejak lima tahun program berkenaan dilaksanakan, permintaan daripada sekolah-sekolah lain untuk menyertai program Empower ECER semakin meningkat.

“Bagi melihat keberkesanan program yang dianjurkan, peserta-peserta ini akan dipantau dari semasa ke semasa sehingga mereka tamat belajar dan seterusnya mendapat pekerjaan,” ujarnya.