Kerja yang sebelum ini merupakan intensif buruh dapat dimudahkan dengan tercipta mesin pemotong E-Cutter hasil penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Penyelidik UPM, Prof. Madya Dr. Norhisam Misron berkata, mesin berkenaan menggunakan teknologi tinggi untuk memotong memudah serta mempercepatkan kerja sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga kerja.

“Mesin yang beratnya kira-kira 6 kilogram ini menggunakan motor kecil dan digabung dengan teknologi dinamo berjaya meminumkan getaran,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan 10 buah mesin E-Cutter oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh kepada para peneroka di Felda Sungai Tengi Selatan di sini, hari ini.

Keseluruhannya 1, 000 unit mesin berkenaan diserahkan secara berperingkat kepada peneroka.

Norhisam berkata, penyelidikan mengambil masa lima tahun untuk penghasilan inovasi tersebut.

Seorang penerima mesin tersebut Saat Latib, 70, berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada UPM dan Felda yang berusaha memudahkan dan meningkatkan hasil para peneroka.

“Saya berhadap mesin ini dapat memudahkan kerja menuai buah dan pemangkasan pelepah,” katanya.

Walaupun belum mencuba mesin E-Cutter dia berharap ia akan meringankan kerjanya dan tidak lagi perlu bergantung kepada tenaga kerja buruh asing. - UTUSAN ONLINE