Ahli Parlimen kawasan itu, Budiman Mohd. Zohdi berkata, buat masa ini pihaknya masih dalam proses mengenalpasti lokasi serta premis yang sesuai untuk operasi kedua-dua taska tersebut selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sebelum ini.

Bagaimanapun. lokasi pembukaan dua Taska Permata itu katanya akan melibatkan lokasi kawasan perumahan selaras dengan kehendak serta permintaan penduduk tempatan.

“Kalau kita lihat sekarang ini, bukan hanya di Sungai Besar sahaja tetapi tempat-tempat lain juga berlaku mobillisasi rakyat khususnya daripada golongan muda yang beralih tinggal di kawasan-kawasan taman perumahan.

“Ekoran daripada perkembangan itu, ia turut mempengaruhi permintaan terhadap keperluan institusi pendidikan yang mana ia tidak terkecuali dari segi pendidikan awal kanak-kanak. Maka, atas faktor itu kita berusaha untuk membuka dua buah lagi Taska Permata di kawasan Parlimen ini .

“Ketika ini Sungai Besar mempunyai empat Taska Permata iaitu di Sungai Nibong, Sungai Panjang, Simpang Lima dan di Pekan Sungai Besar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan tempoh masa pembukaan dua Taksa Permata itu kerana ia masih dalam proses perbincangan dan maklum balas daripada pihak KKLW.

Namun katanya, dengan adanya taska itu nanti ia dapati akan memberi manfaat besar kepada rakyat di Parlimen Sungai Besar kerana Taska Permata sememangnya diketahui berupaya meningkatkan potensi pembelajaran awal kanak-kanak.

Terdahulu, Budiman merasmi dan meraikan 43 kanak-kanak sempena Majlis Graduasi Taska Permata Kemas di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, di sini.

Kesemua kanak-kanak itu meliputi para pelajar Taska Permata Kemas Suwaibatul Aslamiah, Sungai Nibong; Taska Permata Kemas Al-Amin, Sungai Panjang; Taska Permata Kemas Halimatun Saadiah, Simpang 5 dan Taska Permata Kemas Seri Bistari, Pekan Sungai Besar. - UTUSAN ONLINE