Nurul Izati Wagimin, 25, yang meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dan adiknya, Nurul Fittri, 21, yang meraih Diploma Perhutanan, berasa sangat bersyukur kerana berjaya menamatkan pengajian di universiti itu walaupun berhadapan kekangan kewangan.

Bapa mereka, Wagimin Othman meninggal dunia kerana pendarahan otak menyebabkan dua beradik itu terpaksa bergantung kepada biasiswa dan pinjaman untuk meneruskan pengajian.

Nurul Izati yang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sanggup menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membantu Nurul Fittri yang bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meringankan kewangan ibu mereka, Rubiah Wahab, seorang suri rumah.

“Sedih kerana tidak dapat berkongsi saat gembira ini bersama arwah ayah,” kata Nurul Izati selepas menerima ijazah berkenaan.

Bagi Nurul Fittri pula, sebagai adik dia perlu lebih gigih dalam akademik dengan menjadikan kakaknya sebagai sumber inspirasi.

Sementara itu, dua graduan dari Sabah dan Sarawak berazam meneruskan pengajian pasca siswazah di UPM walaupun berjauhan daripada keluarga selepas berjaya mendapat ijazah pada majlis konvokesyen hari ini.

Nazerita Lasumin, 23, dari Ranau, Sabah, me­nerima Ijazah Sarjana Muda Sains manakala Clarence Billy Anak Bijug, 26, dari Bau, Sarawak memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Proses dan Makanan).

“Antara pengorbanan yang perlu ditempuh ialah tidak boleh pulang berjumpa keluarga dalam tempoh yang agak lama,” kata Nazerita yang berhasrat menyambung pengajian peringkat sarjana tahun depan dalam bidang alam sekitar.

Bagi Clarence pula, UPM menjadi pilihan pertamanya untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda dan sarjana kerana merupakan antara universiti penyelidikan terbaik di negara ini.