Cabaran yang tak dikenali mempengaruhi pendidikan belia

Kenyataannya, memang sukar untuk mengejar kepesatan pertumbuhan teknologi serta arah-aliran yang merubah cara hidup manusia, cara industri bekerja dan negara-bangsa berkembang maju. Pakar pendidikan merintih tentang dilema mendidik warga masa hadapan “bagaimana mela­kukan inovasi dan memanfaatkan peluang-peluang yang tidak terduga”.

Ada kewajarannya mereka mempunyai kerisauan ini. Lihat sahaja kesan kecerdasan buatan, robotik, kenderaan tanpa pemandu, kejuruteraan genetik dan Internet Benda (IoT) yang sudah pun merubah persamaan dan menggugat kehidupan yang kita sedia maklum.

Pendidikan masa kini terlalu tegar sukar menyahut dinamika global

Apa yang dikatakan ‘dunia’ akademik itu tidak akan berupaya menyesuaikan diri dengan dinamika ini sekiranya pihak berke­naan berterusan mempertahankan ekosistem struktur jabatan, majlis penyelidikan dan jurnal yang serba tegar, masing-masing bergerak dalam kepompong sendiri.

Nadi sistem bagaimana institusi pengajaran berfungsi mestilah berubah. Tradisi yang dirumus kurun lalu tidak lagi boleh dipakai. Itulah kenyataan yang harus diterima.

Pendidikan masa kini mestilah memberi penekanan dan tumpuan terhadap usaha mempersiapkan sikap dan set minda kaum belia. Mereka hendaklah bersedia secukupnya untuk menyahut secara efektif dan cerdas kepada apa sahaja cabaran yang timbul pada masa hadapan. Belia kita wajib memiliki daya ketahanan agar mampu bersemuka dengan masa hadapan yang sukar diramalkan. Daya ketahanan ini lahir hasil ke­seimbangan pemikiran kreatif, ke­cerdasan emosi, kepekaan pel­bagai budaya dan kecekapan teknikal.

Membentuk kualiti jitu menerusi pendidikan seimbang

Masa hadapan adalah suatu ruang perkongsian bagi kaum belia masa kini menjadi pemimpin, pencetus dan pemula perubahan. Oleh itu, amatlah penting pendidikan mewujudkan ekosistem untuk membina kualiti yang be­tul, seterusnya melahirkan kumpulan individu yang berminda betul yang akan memimpin dunia ke arah masa hadapan yang lebih selamat dan lebih baik. Mereka memerlukan pendidikan seimbang yang membentuk watak agar mereka memiliki integriti, daya ketahanan dan yang penting sekali, sikap yang bersandarkan natijah dan penyelesaian masalah.

Merubah sikap dan melonjakkan keyakinan penting buat anak Malaysia

Ramai anak Malaysia memasuki kolej dan universiti dengan emosi atau perasaan yang goyah. Mereka takut untuk bersuara, takut untuk mengambil bahagian, takut untuk mezahirkan keindividuan masing-masing. Jika dibandingkan dengan warga asing yang ramai belajar di sini maka perbezaannya begitu ketara. Me­ngenang betapa kaum belia kita bakal berdepan dengan persai­ngan global dan cabaran global, maka kami menjadikannya suatu keutamaan demi kelangsungan hidup. Kurikulum yang dibangunkan oleh ‘cendekiawan’ mungkin menekankan pembelajaran kera­na pembelajaran semata-mata tanpa memberi perhatian yang wajar kepada natijah tertentu. Apa yang berguna pada masa dahulu tidak akan berguna masa kini, dan tentu sahaja, tidak berguna masa hadapan.

Industri rakan penting membentuk sumber manusia mahir & berilmu

Masanya sudah tiba untuk merombak pendidikan tanpa mengetepikan dunia industri yang bakal disertai kaum belia setelah mereka keluar universiti kelak. Memang tidak dapat di­sangkal dunia industri kini dalam keadaan bercelaru. Pihak industrilah yang mula-mula sekali akan terjejas disebabkan kekacauan. Pihak industrilah yang paling peka terhadap arah-aliran dan perubahan baharu. Oleh itu industri adalah pihak yang teramat pen­ting kepada pendidikan. Penting untuk selama-lamanya.