Malah dia bukan calang-calang orang di saluran YouTube kerana lelaki berusia 33 tahun ini dinamakan Wootube. Mempunyai 250,000 pengikut dan kini telah mendapat lebih 13 juta kali tontonan.

Eddie bukanlah selebriti yang mempamer bakat seni di dalam Youtube, sebaliknya dia menyiarkan video yang mempunyai pengisian ilmiah iaitu video kelas Matematiknya di Cherrybrook High School.

Semuanya bermula pada tahun 2012, apabila dia memutuskan untuk memasang kamera di bilik darjahnya untuk merakam pengajarannya supaya pelajar yang dimasukkan ke hospital tidak ketinggalan berbanding pelajar lain.

Tanpa disangka, video yang pada asalnya untuk ditonton pelajarnya yang menghidap kanser, kini ditonton di seluruh dunia.

Malah, teknik mengajarnya yang bersahaja dan berkait dengan persekitaran serta aktiviti harian membuatkan dia meraih pelbagai anugerah hebat. Terbaru, Eddie merupakan antara 10 finalis untuk Global Teacher Prize 2018.

Dia juga diumumkan oleh Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull sebagai Australia’s Local Hero 2018 pada Januari lalu.

Setiap hari, Eddie yang sudah 10 tahun bergelar guru akan hadir ke sekolah awal, sebelum bunyi loceng pertama untuk memasang tripod dan iPad di tengah-tengah kelas.

Dalam setiap videonya, ia dirakamkan dari perspektif pelajarnya, membuatkan penonton terasa seolah-olah berada di dalam kelas dengan reaksi dan percakapan pelajar-pelajar melengkapkan pengalaman tersebut.

Antara videonya yang paling popular apabila Eddie menerangkan nombor ‘e’ dan apa sebenarnya pertumbuhan eksponen, yang ditonton hampir 600,000 kali tontonan. Malah ramai menulis komen berterima kasih kepadanya kerana membuat mereka faham formula tersebut.

Personaliti dan cara mengajar Eddie yang mesra dan bersemangat serta komited dengan pelajarnya membuatkan mereka yang tidak minat belajar turut sama menumpukan perhatian.

Malah, apabila ada pelajar yang memberitahu kepadanya mereka tidak berminat dengan Matematik, Eddie menjadikannya satu cabaran untuk membuatkan mereka jatuh cinta dengan subjek tersebut.

Walaupun kini Eddie bergiat aktif untuk mengubah persepsi tentang Matematik, dia sebenarnya tidak pernah bercadang untuk menjadi guru ketika melanjutkan pelajaran di universiti, apatah lagi guru subjek tersebut.

Ibu bapa Eddie berasal dari Malaysia dan berpindah ke Australia pada awal 1970-an untuk mendapat pendidikan lebih baik selain menaruh harapan tinggi untuk anak bongsu mereka.

Eddie merupakan antara pelajar yang mempunyai pencapaian pendidikan tertinggi di sekolah yang hebat di Australia. Malah dia boleh memilih kerjaya yang hebat dan bergaji besar, sesuai dengan kelayakannya.

Namun, dia berhasrat untuk bergelar guru kerana mahu membantu pelajar terutama yang sering menjadi mangsa buli dan disisih kerana sifat perkauman, yang turut dialaminya sebagai minoriti dengan latar belakang Asia ketika berada di sekolah rendah di pinggir bandar Sydney.

Walaupun pilihannya bergelar guru pada mulanya sedikit mengecewakan ibunya, tetapi dia kini menjadi seorang guru yang dihormati dan dipandang tinggi.