Ang Swee Kian, 27, merupakan anak kelahiran Orang Asli suku kaum Jakun di Rompin, Pahang telah mengajar di sekolah itu hampir empat tahun lalu.

Lebih mesra dengan panggilan ‘Cikgu Ang’ dalam kalangan murid Orang Asli, Ang menceritakan ibunya merupakan Orang Asli, manakala bapanya pula berbangsa Cina.

Ang berkata, dia dibesarkan dalam kelompok Orang Asli suku kaum Jakun di Kuala Rompin.

Katanya, dia berbangga apabila menjadi anak Orang Asli pertama dapat mengajar murid kaumnya sendiri di kelas prasekolah sekolah itu.

“Saya menyimpan hasrat untuk mengajar kaum sendiri sejak dulu lagi sebelum melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Afzan, Kuala Lipis, Pahang.

“Apabila berjaya ditempatkan di SK Tohoi saya gembira kerana dapat membantu murid Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Ang yang masih bujang berkata, pada mulanya dia berasa kekok daripada segi pertuturan bahasa kerana dia perlu mengajar Orang Asli suku kaum Temiar.

Katanya, dia cuba belajar bahasa suku kaum Temiar bagi memberi kefahaman kepada kanak-kanak kaum itu.

“Dalam kelas prasekolah saya ada 25 orang kanak-kanak Orang Asli dan mereka semakin menunjukan minat untuk belajar kerana saya mengambil pendekatan mesra dan memahami bahasa mereka.

“Saya sudah selesa mengajar di sini malah rapat dengan ibu bapa kaum Orang Asli dan kami bagaikan sebuah keluarga.

“Pada hari pertama melapor diri pada tahun 2016 di SK Tohoi hidup terasing kerana tinggal jauh dengan keluarga,” katanya. - UTUSAN ONLINE